jump to navigation

Perspektif Ikim: Masjid tempat perkukuhkan ekonomi ummah November 7, 2006

Posted by KarQoon in Gen Knowledge.
trackback

RAMADAN 1427 Hijrah sudah berlalu dan jika dipanjangkan umur, Ramadan seterusnya akan sama-sama umat Islam temui.

Khususnya pada Ramadan, lebih ramai individu Muslim berkunjung ke masjid kerana melaksanakan ibadat solat sunat tarawih dan pada bulan itu juga waktu malam suasana masjid begitu hidup.

Tambahan di kawasan perumahan dan kampung di mana peranan masjid perlu dilebarkan semoga dapat menarik minat lebih ramai individu memenuhi urusan lain termasuk keperluan kehidupan harian dan memantapkan kehidupan bermasyarakat.

Umat Islam mengetahui dari maklumat sejarah bahawa usaha membina masjid adalah tindakan awalan dan utama diambil Nabi SAW dalam membangun tamadun masyarakat Islam pertama di Madinah.

Di tempat unta Baginda SAW berhenti dalam perjalanan jauh dari Makkah ke Madinah iaitu di perkarangan rumah Sahl dan Suh’ayl, tanah mereka dibeli dan masjid pertama dibina.

Menarik juga untuk kita ketahui bahawa Baginda SAW mengguna pendekatan wakaf dalam membina masjid pertama Islam itu.

Pendekatan itu diambil untuk menggembleng seberapa ramai umat Islam menyertai pembinaan masjid sekali gus membina semangat tanggungjawab di kalangan umat Islam bahawa masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran kehidupan dalam semua bidang.

Bagi Islam masjid adalah rumah Allah, tempat umat Islam beribadat, khususnya bersolat jemaah harian dan bersolat Jumaat pada setiap minggu.

Di samping itu, masjid turut diguna untuk umat Islam bertemu dalam menganjur segala urusan kehidupan termasuk urusan penyusunan ekonomi masyarakat setempat.

Justeru, jika golongan lelaki gagal menyertai solat Jumaat tiga kali dianggap fasik dan disebabkan itu juga khutbah yang disampaikan khatib menyentuh semua bidang membabitkan kehidupan dalam masyarakat.

Pemahaman Islam terhadap konsep ibadat adalah luas merangkumi segala urusan kehidupan bermasyarakat yang menganjur kepada kesepaduan di antara segala urusan kehidupan dengan ajaran agama.

MengIslamkan segala urusan duniawi adalah tuntutan kepada umat Islam dan ia dijelaskan dalam firman Allah bahawa setiap tindak tanduk dalam kehidupan akan dihitungkan untuk pembalasan akhirat.

Adalah tepat jika umat Islam pada masa kini menghidupkan peranan masjid semoga sesuai dengan segala urusan kemasyarakatan kerana bagi Islam semuanya menjadi ibadat jika dirancang dan dilaksana mengikut tuntutan agama.

Dalam rangka pemahaman itu beberapa peranan dan cadangan boleh disyorkan supaya masjid dijadikan tempat membangun kekuatan ekonomi ummah. Di antara cadangan itu:
Memberi kesedaran pentingnya umat Islam berusaha meningkat kekuatan ekonomi melalui pendekatan Islam dalam program ilmiah di masjid. Program ilmiah masjid perlu mendidik ummah bahawa Islam adalah agama untuk kemajuan dalam kehidupan.

Kehidupan akhirat adalah pembalasan kepada bagaimana kita mengurus kehidupan di dunia. Dalam suasana semasa orang Islam perlu berjihad dalam membangun kekuatan ekonomi mereka kerana kedaifan ekonomi menyebabkan mereka ditindas dan dihina.

Menguasai kekuatan ekonomi akan menarik lebih minat masyarakat kepada ajaran Islam, bahkan penyusunan ekonomi mengikut Islam sepatutnya menghasilkan masyarakat adil dan penuh kasih sayang.
Menganjur kursus, seminar dan bengkel berkaitan urusan perniagaan yang berwibawa mengikut pendekatan Islam di masjid.

Melalui usaha itu peniaga dapat didekatkan kepada masjid selain mendedahkan mereka kepada ramuan perniagaan seperti strategi menguasai pasaran, satu strategi yang menuntut peniaga Muslim berjihad meningkat kecekapan dan menghasil mutu barangan serta perkhidmatan yang tinggi nilainya.
Membina masjid di kawasan pusat perniagaan negeri dan negara bagi meyakinkan bahawa Islam tidak menganjurkan pemisahan ibadat khusus dengan melaksana hidup harian yang mesti disandarkan kepada Islam.
Menyedia kemudahan perkhidmatan perbankan, insurans dan perkhidmatan penting berhampiran atau dalam perkarangan masjid sebagai usaha mendekatkan institusi kewangan ekonomi kepada individu Muslim yang berkunjung ke masjid.

Keperluan berurusan dengan institusi kewangan akan meningkat apabila taraf kedudukan ekonomi umat Islam meningkat.
Menyedia dan menjual keperluan asas masyarakat di perkarangan masjid dilihat mampu menarik ahli masyarakat mendekati masjid termasuk menyediakan kemudahan klinik kesihatan swasta.

Cadangan di atas adalah antara beberapa kegiatan dan kemudahan yang boleh disediakan berdekatan atau dalam perkarangan masjid.

Banyak lagi kemudahan atau kegiatan boleh diperkenalkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan setempat dan semasa.

Yang penting, kesemua institusi masjid dalam negara perlu mengambil tindakan awalan memikir serta merancang semoga institusi masjid mampu menerajui keperluan dan pembangunan ummah termasuk dalam bidang ekonomi.

Jika masjid mampu berperanan sedemikian, institusi masjid akan lebih dirasai sebagai institusi yang menyumbang kepada keperluan kehidupan harian orang Islam, sekali gus memecah tembok kefahaman yang memisahkan kehidupan dengan amalan agama.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Sumber : Berita Harian

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: